Pertima tingkat pengeluaran melebihi 100 peratus sepanjang PKP

KUALA TERENGGANU, 12 Mei — Syarikat pengeluar produk makanan dalam tin, Pertima Terengganu Sdn Bhd (Pertima) kini giat meningkatkan pengeluaran ke tahap maksimum 22,000 tin sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pengurus Besarnya Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata pengeluaran tersebut merupakan penambahan melebihi 100 peratus daripada jumlah pengeluaran sebelum tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu 10,000 tin sehari.

“Permintaan terhadap produk makanan dalam tin terutamanya sardin meningkat dengan mendadak melebihi 400 peratus sepanjang PKP.

“Bagaimanapun kami tidak dapat memenuhi kesemua permintaan disebabkan operasi kilang telah mencapai tahap optimum,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ke kilang syarikat itu, semalam.

Pertima yang ditubuhkan pada 1972 merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan menjalankan operasi pengeluaran di Chendering, di sini.

Selain sardin, Syed Mohd Asdi berkata syarikatnya turut mengeluarkan lapan jenis produk makanan dalam tin seperti kari ayam, kuah laksa, kuah sate, sambal bilis, kaya dan sapuan sardin yang turut mendapat permintaan tinggi.

Sehubungan itu pihaknya merancang untuk menambah bilangan mesin pengeluaran pada masa akan datang bagi meningkatkan produktiviti demi memenuhi permintaan dari dalam negeri dan seluruh negara.

“Produk kami sebenarnya telah ada di pasar raya besar seperti Mydin, Aeon Big dan rangkaian KK Super Mart di seluruh negara, tetapi bekalan sedia ada masih belum cukup untuk menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

“Kami sudahpun ‘finalize’ (memuktamadkan) senarai mesin-mesin yang diperlukan untuk tambahan, hanya tunggu kelulusan lembaga pengarah untuk diteruskan selepas ini,” katanya sambil menambah syarikat itu memfokuskan kepada kualiti produk dah harga untuk terus kekal dalam pasaran.

–BERNAMA

Sumber : https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1840627

Follow, Share & Like. Terima Kasih.

Page : https://www.facebook.com/sardinpertima/
IG : https://www.instagram.com/pertimatrengganu/
Website : https://www.pertima.com.my/

 
 

Lawati kami di Media Sosial.

Shopping Basket