KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Pertima Terengganu Sdn Bhd (PERTIMA) berjaya merangkul salah satu anugerah berprestij The Brandlaureate World Halal BestBrands Award Consumer Canned sardines oleh The World Brands Foundation 2019 pada 29 September 2019 di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.
Pengurus Besarnya, Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata, anugerah yang diterima Jenama Terbaik Produk Halal (World Halal BestBrand) adalah satu pengiktirafan kepada para pengguna hasil rujukan daripada pasaran, media sosial dan kerajaan.
Katanya, beliau menghargai dan menghormati sokongan orang ramai yang berterusan, menjadi pelanggan dan memberi sokongan kepada produk keluaran 100 peratus bumiputera, dibawah kerajaaan negeri ini.
“The Brandlaureate adalah satu yayasan untuk penjenamaan dan satu badan yang mengiktiraf jenama di seluruh dunia dalam bidang tertentu. Kalau ikutkan memang bergantung kepada produk masing-masing dan mengikut kategori.
“Untuk PERTIMA, kita dapat anugerah ini dibawah ‘canned food’ . Macam mana mereka dapat adalah daripada rujukan daripada pasaran, pengguna ataupun media sosial ataupun kerajaan. Banyak sumber-sumber dia dapat dan dipilih baru kita layak untuk dapat,” jelasnya.