Kuah Laksa Terengganu Terhangat MAHA 2018

SERDANG, 1 Disember – Kuah Laksa Terengganu dalam tin yang dipasarkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 mendapat sambutan hangat pengunjung yang hadir.

Pengurus Pemasaran PERTIMA, Bahaizul Nizam berkata, Kuah Laksa Terengganu merupakan inovasi baharu syarikat tersebut yang dipasarkan bermula tahun ini.

“Di samping kuah laksa, PERTIMA juga mengeluarkan Kuah Satay Terengganu yang juga dalam tin.

“Ini merupakan produk kuah laksa dalam tin yang pertama di Malaysia dan hanya ada di PERTIMA,” katanya ketika ditemui pemberita di Pavilion Terengganu, hari ini.

Bahaizul menjelaskan, produk itu mendapat sambutan hangat kerana mudah disajikan.

“Hanya dengan memanaskannya beberapa minit dan sesuai untuk sajian tiga orang.

“Ia memudahkan dan membantu pengguna membuat persediaan hidangan.

“Paling penting, rasanya tidak berubah seperti resepi tradisional,” katanya.